Pages

14 October, 2011

Kesesatan tukang sihir

Pernahkah kita terfikir bagaimana caranya tukang sihir mendekatkan dirinya kepada syaitan?

Di bawah ini sedikit petikan daripada buku yang menerangkan kekejian dan kesesatan yang dilakukan oleh tukang sihir (yang selalu dipanggil tok bomoh).


  • Ada tukang sihir yang menjadikan mushaf al-Quran sebagai alas kaki ketika masuk ke tandas.
  • Ada yang menulis sebahagian daripada ayat al-Quran dengan cara yang kotor iaitu dengan menggunakan darah haid.
  • Ada pula yang menulis sebahagian ayat al-Quran di telapak kakinya atau menulis al-Fatihah secara songsang.
  • Ada yang solat tanpa wuduk atau dalam keadaan berjunub.
  • Ada pula yang menyembelih haiwan dengan tidak menyebut nama Allah, kemudian melemparkan sembelihan tersebut ke suatu tempat yang telah ditentukan oleh syaitan.
  • Ada yang bercakap kepada bintang-bintang dan sujud kepadanya.
  • Ada pula yang menggauli ibu atau anak perempuannya.
  • Ada pula yang menulis ayat-ayat jampi dengan lafaz-lafaz yang mengandungi unsur syirik.
Di sini jelas kepada kita bahawa jin tidak akan membantu tukang sihir dan menjadi khadamnya kecuali dengan suatu ganjaran. Semakin besar kekafiran seseorang tukang sihir, semakin besar pula ketaatan syaitan kepadanya. Jika tukang sihir tidak mahu melaksanakan kejahatan yang diperintahkan syaitan, maka syaitan pun tidak mahu menjadi khadamnya.

Secara keseluruhannya, tukang sihir dan syaitan adalah dua sejoli yang bertemu dalam rangkaian berbuat maksiat kepada Allah. Jika diamati wajah tukang sihir, anda akan mendapati tanda kufur berteduh di wajah mereka seperti mendung hitam.

Jika anda mengenali tukang sihir dengan lebih dekat maka anda akan dapati kehidupan yang sengsara sama ada isterinya, anak-anaknya atau dirinya sendiri. Ada antara mereka yang tidak dapat tidur dengan tenang bahkan berasa takut ketika tidur. Syaitan-syaitan itu sering menyakiti anak-anak dan isterinya serta menimbulkan pertengkaran di kalangan mereka.

26 July, 2011

Hello Kedua

Assalamualaikum,

Buku Hello Anak-Anak Ayah II sudah beberapa bulan berada di pasaran. Kepada sesiapa yang mahu membelinya terus daripada saya, boleh emel saya di zulinahassan@yahoo.com atau tinggalkan komen di sini.



Saya mohon maaf kerana terlupa memaklumkan mengenai buku baru ini kepada beberapa pembaca cilik saya yang berpesan sedemikian. Maklumlah, tempoh masa buku tu nak keluar begitu lama sekali. Untuk hasilkan novel nipis seperti ini pun memakan masa setahun. Dalam masa setahun tu helaian uban pun makin bertambah - dah makin tua dah makin pelupa.

Mereka pun barangkali dah masuk sekolah menengah, sedangkan buku ni lebih sesuai untuk anak-anak lingkungan umur 7-12 tahun. Anak-anak yang dah naik sekolah menengah, kenalah beralih angin baca buku-buku yang lebih serius dan lebih informatif seperti buku mengenai tokoh-tokoh, sejarah dan novel yang serius.

Barangkali sebahagian pembaca perasan perubahan isi yang agak ketara dalam novel kedua ini berbanding novel pertama. Sebabnya, dulu saya menulis novel ini hasil inspirasi anak saya Hanif dan Nawal, masa tu masing-masing berumur 12 dan 11 tahun. Setiap hari pulang dari sekolah, bermacam-macam cerita yang mereka sampaikan pada saya mengenai kawan-kawan dan guru-guru mereka di sekolah. Sekarang mereka dah 14 dan 13 tahun. Ceritanya pun dah lain.

Untuk novel ketiga yang juga novel penutup, saya sudah bincangkan ideanya bersama anak-anak saya. Dimulakan dengan cerita adik-beradik sesusuan (hukum berkaitannya). Sebenarnya itulah asal usul saya menulis novel ini, iaitu memasukkan hukum-hakam agama dalam kehidupan seharian secara santai melalui cerita-cerita yang menghiburkan. Saya harap kawan-kawan dapat doakan saya supaya berupaya menyiapkan novel penutup Hello Anak-Anak Ayah dengan jayanya.

18 April, 2011

Sampai hati

Seorang bapa sembilan anak mengatakan, petua dia mendidik anak-anak sehingga berjaya hanyalah dua perkataan, iaitu sampai hati.

Sampai hati apa?

Sampai hati menghukum anak-anak apabila mereka melakukan kesalahan.

Seorang ustaz yang berumur 50-an bercerita, bapanya garang. “Bukan sangat garang, tapi garang nak mampus!” katanya.

"Saya mempunyai tiga adik-beradik, kesemuanya lelaki. Suatu hari, kami pulang dari padang bola ketika TV sedang mengumandangkan azan. Bapa saya mengunci pintu dan semua tingkap rumah sebelum sempat kami naik ke rumah. Malam itu kami bertiga tidur di bawah rumah. Emak saya menangis sepanjang malam. Sejak itu, kalau bermain bola kami asyik memandang langit, takut-takut terlewat lagi,” ceritanya.

15 February, 2011

Salam.

Sebaik terjaga daripada tidur hari ini, serta-merta saya teringat kawan sekelas yang pernah bersama semasa tingkatan 1 - 3 di Sekolah Menengah Batu Kikir, NS. Malam tadi saya dapat tahu dia menghidap kanser ovari dan sudah berjangkit sehingga ke paru-paru. Sekarang apa yang dapat dibuat hanya membuat rawatan kemoterapi ke atasnya. Dia seorang doktor, bertugas sebagai pensyarah medikal di salah sebuah universiti tempatan.

Saya memanjatkan doa, semoga Allah mengurniai kesabaran yang tinggi kepadanya dan memberi kebaikan yang banyak kepadanya di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Allah yang maha pengasih sengaja memberi sedikit kesusahan kepada kita kerana Dia hendak memberi pahala dan kebaikan yang banyak atas kesabaran kita.

Sama-samalah kita ingat-mengingati.

10 January, 2011

'Show' dan 'tell' dalam novel

1. Menulis novel adalah kerja yang mencabar. Saya sendiri tidak begitu pandai menulis novel. Setakat ini saya hanya pernah menulis sebuah novel, itu pun dibimbing oleh Puan Azmah Nordin dari permulaan cerita sampai tamat.

2. Apabila diserahkan tugas menyunting novel, saya menerimanya sebagai satu cara untuk terus belajar. Mudah-mudahan saya dapat menulis novel dengan lebih baik pada masa hadapan dan beroleh kebaikan daripadanya.

3. Ketika menyunting novel, saya dapat melihat dengan jelas beberapa kelemahan penulis yang boleh diperbaiki bagi menjadikan novelnya lebih baik (kalau saya menulis mungkin saya pun tidak sedar saya punya kelemahan yang serupa). Antaranya apa yang dikatakan sebagai show don't tell.

Tell bererti kita memberitahu. Misalnya kita memberitahu watak dalam novel kita itu sedang marah, sedih, terburu-buru dan sebagainya.

Show bererti kita gambarkan apa yang dialami oleh watak kita itu. Kalau dia marah, gambarkan bagaimana keadaan dan rupanya ketika marah. Cuping telinganya jadi merah? Matanya dijegilkan? Gigi diketap? Nafas turun naik?

Gambaran ini sangat bergantung kepada perwatakan watak itu. Kalau watak yang pembengis tentu cara marahnya berbeza dengan watak yang tenang. Watak yang tenang, mungkin dia diam dan tidak bersuara lagi selepas itu ataupun dia bangun daripada duduknya dan terus beredar.

Show bukan sahaja menggambarkan keadaan watak pada masa itu, tetapi berupaya menggambarkan keseluruhan perwatakannya. Misalnya, Laila budak miskin dan Laily anak orang kaya. Kedua-duanya gagal dalam peperiksaan.

Laila membuka pintu rumahnya perlahan-lahan dengan tangan yang lemah. Bunyi keriut pintu kayu itu menyebabkan hatinya bertambah kecut. Dia menggigit bibir dan meramas-ramas tangan, berusaha menghilangkan resah yang bersarang dalam hatinya. Dia menutup pintu dan memandang sekeliling ruang tengah rumahnya yang suram. Tidak ada kelibat ibu mahupun bapanya. Laila menarik nafas lega. Dia segera meletakkan beg sekolahnya di sudut ruang, di tepi rak pakaian yang sudah hampir roboh.

Dalam perenggan di atas, kita cuba menggambarkan keresahan hati Laila dan keadaan keluarganya yang miskin.

Mengenai Laily pula:

Laily membuka pintu rumahnya dan terus masuk ke dalam. Dia melangkah laju menaiki tangga batu di sudut kiri rumahnya. Namun langkahnya terhenti apabila mendengar suara orang berdehem. Laily menoleh.

"Nenek!" serunya dengan mata yang bercahaya. Dia berlari turun mendapatkan neneknya yang duduk di sofa di sudut ruang tamu.

Laily memeluk neneknya dengan erat. "Syukurlah nenek datang. Saya gagal dalam peperiksaan, nek. Nenek cakaplah dengan mama dan papa, saya tidak mahu bersekolah lagi. Saya hendak belajar di akedemi lakonan. Saya hendak jadi pelakon macam nenek masa muda-muda dahulu," katanya lalu mencium pipi neneknya.

Dalam cerita ini, Laily digambarkan tinggal di rumah dua tingkat dan seorang yang manja.

Mudah-mudahan dengan cara ini pembaca dapat menghayati cerita dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati mereka.

24 May, 2010

'Rasa' bekerja sendiri di rumah

Ada rakan-rakan yang bertanya, apa 'rasa'nya bekerja sendiri di rumah. Ramai antara mereka yang menyimpan cita-cita ingin bekerja dari rumah. Selain dapat menampung perbelanjaan rumah tangga, mereka dapat menjaga sendiri anak-anak dan memantau perkembangan mereka. Lebih penting, tiada lagi tekanan yang dirasai di tempat kerja.

Bagi saya sebagai isteri dan ibu, bekerja di pejabat dan bekerja sendiri di rumah amat besar perbezaannya. Saya tak perlu terkejar-kejar memasak pada waktu pagi untuk anak-anak yang akan pulang pada waktu tengah hari sebelum ke sekolah petang, tidak lagi bimbang memikirkan keselamatan anak-anak menguruskan diri sendiri di rumah pada waktu tengah hari, tak perlu lagi memecut kereta ke pejabat dan tiba di pejabat dalam keadaan termengah-mengah seperti orang yang baru berlari 100m, tak perlu lagi menjawab surat tunjuk sebab kerana selalu masuk lambat selepas waktu rehat tengah hari, tak perlu lagi jawab surat tunjuk sebab kerana punch card lewat dua atau tiga minit beberapa kali dalam seminggu, tak perlu lagi tadah telinga dengar rungutan ketua-ketua yang tak puas hati dengan kita atau orang lain, tak perlu lagi dengar suara umpat keji dan bebelan tak henti-henti kerana tak puas hati dengan orang lain, tidak perlu lagi akur pada peraturan tak munasabah yang dibuat disebabkan oleh seorang dua pekerja yang nakal dan macam-macam lagi.

(Selain itu, perbezaan besarnya ialah saya kekurangan kawan yang dapat saya dengar suaranya dan lihat wajahnya dan tidak dapat lagi melakukan kerja yang amat saya sukai iaitu bertemu tokoh-tokoh hebat untuk ditemubual dan mengenali mereka secara peribadi.)

Walaupun terus terang saya katakan sememangnya pendapatan saya tidak mencapai jumlah seperti dahulu, tetapi ketenteraman yang saya rasai adalah rezeki yang tidak terhitung nilainya daripada Allah SWT. Saya perlu bekerja keras untuk memperoleh pendapatan yang diingini, namun keutamaan tetap kepada tugas saya sebagai pengurus rumah tangga. Oleh sebab itulah saya terpaksa ketepikan perkara-perkara yang saya rasa kurang penting seperti bersosial di facebook, menulis blog dan membaca akhbar.

Waktu pagi selepas menghantar anak-anak ke sekolah (yang bersekolah menengah naik van) dan mengemas rumah, dapatlah sedikit masa untuk menulis atau menyunting karya yang sampai ke tangan saya. Lebih kurang pukul 10 pagi saya berhenti untuk memasak, kemudian mengambil anak dari KAFA. Saya selalu mencuri sedikit masa di sini untuk membuat sedikit ulang kaji untuk anak yang baru pulang dari KAFA, atau menyuruh dia sahaja membuat ulang kaji secara online. Pukul 12.30 saya akan menghantarnya ke sekolah kebangsaan, kemudian menunggu kakaknya pulang dari sekolah kebangsaan pula. Balik ke rumah bersiap-siap untuk solat Zuhur dan makan, kemudian menyambung semula kerja-kerja menulis atau menyunting sehingga waktu Asar. Selepas Asar biasanya anak-anak saya akan membuat sendiri minum petang mereka, biasanya roti bakar, melainkan ada lebihan kuih-muih yang dibuat pada hujung minggu yang boleh digoreng. Selepas minum saya akan menyambung kerja sehingga pukul 6.00 petang atau 6.30 petang, iaitu waktu untuk mengambil anak yang bersekolah di sekolah kebangsaan. Sebelum maghrib biasanya kami akan makan malam, solat maghrib, mengaji dan membuat ulangkaji. Jika masih bertenaga saya akan menyambung kerja selepas mereka selesai mengulangkaji, membaca akhbar, membuka blog dan membuka fb jika ada mesej.

Biarpun jadualnya padat, tetapi tidak ada stress. Alhamdulillah. Saya fikir memang semua orang tidak mahu stress kerana ia merentap kebahagiaan diri.

Dalam banyak-banyak kenangan pahit yang saya alami semasa bekerja di pejabat dulu (kenangan manis pun banyak), ada satu kejadian yang sentiasa saya ingati sampai sekarang. Ketika itu anak kelima saya baru berusia beberapa bulan. Suami tiada di rumah pada waktu itu. Selepas maghrib, dalam keadaan penat saya meminta anak-anak yang besar memasak air. Anak-anak ini berumur 11 tahun, 9 tahun dan 8 tahun. Saya pesan pada mereka jangan masuk tidur selagi air belum masak. Saya pula masuk ke bilik untuk menyusui anak dan akhirnya terlelap.

Saya dikejutkan oleh satu letupan yang amat perlahan. Saya memandang ke luar melalui pintu bilik yang terbuka, ada cahaya berwarna kuning memantul pada dinding ruang tamu. Saya kehairanan sekejap memikirkan cahaya apakah itu. Bunyi letupan kedengaran lagi sebelum akal waras saya memberitahu ada kebakaran di dapur.

Saya berlari ke dapur. Alangkah terkejutnya saya melihat api marak dari atas lantai hampir membakar kabinet kecil tempat memasak. Saya segera menjirus air ke arah api yang marak itu, tetapi tidak menampakkan sebarang kesan. Alhamdulillah saya cepat sedar api itu muncul dari muncung host gas yang sudah tercabut dari dapur gas. Saya cepat-cepat menutup suis gas dan serta-merta api itu padam.

Anak-anak saya sudah bangun ketika itu. Saya dapati api sudah memercik ke atas kabinet yang tinggi dan ke atas kain pengelap kaki. Kami sama-sama memadamkan percikan api itu. Cerek bisu itu (sudah kehilangan bunyi sirennya) hitam legam rupanya. Kerana cerek itu bisu maka tiada sesiapa yang dikejutkannya apabila air sudah masak.

Barangkali dalam banyak-banyak peristiwa berhubung kait dengan kepenatan bekerja di pejabat, inilah peristiwa yang paling menakutkan. Apa pun, Allah masih berkehendak memanjangkan umur kami dan semua itu sebagai peringatan daripada-Nya.

Berbalik kepada bekerja sendiri di rumah, bukanlah maksud saya untuk menyatakan kurang bagusnya bekerja di pejabat. Hal ini terpulang kepada individu itu sendiri untuk menilai keupayaan dirinya. Setiap orang diberi tanggungjawab atau amanah yang berbeza dan sudah pastilah kita mahu melakukan yang terbaik dalam hidup kita.

04 April, 2010

Terbaru untuk anak-anak

Siri Mari Berfikir, mengajak anak-anak berfikir tentang kejadian alam. Sesuai untuk Tahap 1 dan 2. Membantu mereka memahami subjek Sains di sekolah.